ANAK lembu dilahirkan Dori yang terselamat daripada taufan Dorian, September lalu. FOTO Agensi
ANAK lembu dilahirkan Dori yang terselamat daripada taufan Dorian, September lalu. FOTO Agensi
Agensi

BEAUFORT: Lembu hamil yang pernah menggemparkan dunia apabila berenang sejauh 6.4 kilometer ke pantai selepas dihanyutkan taufan Dorian pada September lalu, selamat melahirkan anak lembu ‘ajaib’.

Gulfnews melaporkan, beberapa gambar haiwan yang digelar ‘anak lembu laut’ itu tular selepas dimuat naik di Facebook, agensi perunding ladang, Ranch Solutions.

Ranch Solutions mengesahkan, anak lembu itu unik kerana memiliki sepasang anak mata berwarna biru dan coklat.

Anak lembu itu memiliki dua warna anak mata berbeza, keadaan jarang berlaku pada kebanyakan haiwan termasuk kuda liar.

Penduduk Cedar Island, Woody Hancock memberitahu McClatchy News, usaha mendekati dua beranak itu bagi merakam gambar mereka nyata amat sukar.

Katanya, haiwan berkenaan lari apabila ternampak manusia.

“Lembu ternakan liar yang tinggal di Cedar Island tidak biasa melihat atau didekati manusia,” kata jurucakap Taman Negara negeri itu.

Sebelum ini, Ranch Solutions membiayai kos pemulangan lembu hamil berkenaan kembali ke tempat asalnya di North Carolina kira-kira 560 kilometer dari timur Charlotte.

Lapor The Charlotte Observer, lembu terbabit yang diberikan nama Dori, seekor daripada tiga yang dihanyutkan taufan berkenaan dan ditemui di Outer Banks.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 6:50 AM