TENTERA Thailand memeriksa suhu badan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. FOTO AFP.
TENTERA Thailand memeriksa suhu badan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket. FOTO AFP.
Agensi

Bangkok: Semua pengembara yang ingin memasuki Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan insurans kesihatan mulai Ahad ini sebelum menaiki pesawat ke negara itu.

Perkara itu dinyatakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menerusi pengumuman terbaharunya, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Semalam, CAAT berkata, hanya pengembara dari enam negara dan wilayah yang diklasifikasikan sebagai zon jangkitan penyakit dan 11 negara yang sedang berdepan dengan jangkitan tempatan Covid-19 perlu mengemukakan dokumen itu sebelum menaiki pesawat.

Menerusi langkah itu pengembara perlu mengemukakan sijil kesihatan yang dikeluarkan tidak lebih daripada 72 jam sebelum tarikh perjalanan bagi membuktikan mereka bebas daripada virus, dengan perlindungan insuran kesihatan minimum bagi Covid-19 tidak kurang daripada AS$100,000 (RM438,000).

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan yang mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat General atau Kementerian Luar.

“Pengembara yang gagal mengemukakan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan menaiki pesawat,” kata CAAT dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penumpang perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T8 atau borang permohonan “AOT Airport of Thailand” dan sejurus tiba di lapangan terbang, penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan, polisi insurans, Borang T8 kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit.

“Ketibaan akan tertakluk kepada pengasingan, kuarantin, diletakkan di bawah pemerhatian atau sebarang langkah lain untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” kata CAAT.

Setakat ini, sebanyak 272 kes COVID-19 direkodkan di Thailand dengan satu kematian sejak penularan wabak itu Januari lalu.

Thailand merekodkan peningkatan mendadak jangkitan virus itu minggu ini. Pada Khamis, sebanyak 60 kes baharu dikenal pasti - peningkatan terbesar bagi tempoh 24 jam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 2:19 PM