ZHONG Nanshan. FOTO Xinhua
ZHONG Nanshan. FOTO Xinhua
Agensi

BEIJING: Pakar perubatan China menjangkakan penularan wabak Covid-19 berlaku sehingga Jun nanti.

Pakar epidemiologi China, Zhong Nanshan berkata, pihaknya menjangka epidemik berkenaan akan terus berlaku di seluruh dunia sekurang-kurangnya sehingga Jun nanti.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Guangdong Television, semalam.

Zhong berkata, China perlu mengubah tumpuan kepada mengekang kemasukan kes dari luar berbanding mengawal penularan dalam negara khususnya di Guangdong yang juga hab pengangkutan antarabangsa.

“Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan di sempadan dan polisi kuarantin juga perlu dilaksanakan khususnya di kalangan pelancong dari negara yang terjejas dengan wabak ini,” katanya.

South China Morning Post melaporkan, Beijing juga kini mengeluarkan amaran bagi bukan warganegara yang berada di bandar berkenaan untuk tidak melakukan sebarang perjalanan tidak penting memandangkan terdapat banyak kes direkodkan di kalangan mereka yang baru pulang dari luar negara.

“Kerajaan sedang giat mengekang penularan wabak ini dan kami memberi amaran kepada bukan warga China untuk tidak melakukan sebarang perjalanan tidak penting ke luar China,” kata timbalan pengarah pejabat perhubungan luar, Li Hui.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 8:00 PM