INSTITUT Pembangunan Sumber Manusia Kebangsaan menempatkan 173 rakyat Korea Selatan yang dikuarantin akibat wabak Covid-19. FOTO Yonhap News.
INSTITUT Pembangunan Sumber Manusia Kebangsaan menempatkan 173 rakyat Korea Selatan yang dikuarantin akibat wabak Covid-19. FOTO Yonhap News.
BERNAMA

Seoul: Seramai 700 rakyat Korea Selatan yang dikuarantin di dua wilayah akibat wabak koronavirus baharu (Covid-19) akan dibebaskan hari ini dan esok, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Mereka dikuarantin di dua kemudahan iaitu di Asan dan Jincheon, yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Selatan Seoul, lebih dua minggu selepas pulang dari pusat wabak.

Kumpulan itu sudah diisytihar bebas daripada virus berkenaan dalam ujian terakhir Khamis lalu, dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, menurut Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan.

Mereka juga tidak perlu menjalani pemeriksaan kesihatan susulan selepas dibenarkan pulang, kata kementerian itu.

Kemudahan kuarantin di Asan menempatkan 527 orang, dan 173 lagi di Jincheon.

Hari ini, seramai 366 penduduk yang dikuarantin akan dibebaskan iaitu 193 dari Asan dan 173 dari Jincheon.

Sementara, esok seramai 333 yang dikuarantin di Asan akan dibebaskan.

Perdana Menteri Chung Sye-kyun serta Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Chin Young dijangka menghadiri majlis perpisahan itu.

Kerajaan akan menggerakkan 37 bas untuk membawa mereka ke lokasi utama berhampiran kediaman masing-masing, kata pegawai.

Menurut kementerian, seramai 111 kakitangan awam yang membantu mereka di dua kemudahan itu akan dibebaskan pada Ahad dan Isnin selepas kerja pembasmian kuman dan pembuangan sampah.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 11:08 AM