KES rogol di India menimbulkan kebimbangan berhubung jenayah keganasan terhadap wanita di negara itu. FOTO AFP
KES rogol di India menimbulkan kebimbangan berhubung jenayah keganasan terhadap wanita di negara itu. FOTO AFP
Agensi

New Delhi: Seorang remaja di India berdepan detik hitam selepas dicekik sehingga pengsan, sebelum dirogol dan diserang secara seksual menggunakan batang besi di Pardi, Gujarat.

Pada kejadian 21 Januari lalu itu, mangsa yang hanya berusia 19 tahun dikatakan diserang oleh penyelianya yang berusia 52 tahun.

Kedua-dua mereka bekerja di sebuah kilang.

Hindustan Times melaporkan ketika kejadian, mangsa tinggal berseorangan di rumah sewanya.

Ia selepas abangnya dan seorang lagi kenalan perempuan yang tinggal serumah dengannya pulang ke kampung mereka.

Menyedari mangsa berseorangan, suspek mengambil kesempatan untuk cuba memperkosa mangsa.

Bagaimanapun, remaja itu melawan menyebabkan lelaki terbabit menyumbat cebisan kain di dalam mulut mangsa.

Akibatnya, mangsa tidak sedarkan diri sebelum suspek merogolnya.

Perbuatan kejam suspek tidak terhenti di situ apabila lelaki itu dikatakan melakukan serangan seksual terhadap mangsa dengan menggunakan batang besi.

Tiga hari kemudian, remaja itu memberitahu abangnya sebelum mereka membuat laporan polis.

Kejadian terbaharu itu menimbulkan kemarahan masyarakat apabila disamakan dengan kes rogol berkumpulan terhadap seorang wanita yang menaiki bas di New Delhi pada 2012.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama teman lelakinya diserang suspek terbabit ketika menaiki bas untuk pulang ke rumah selepas menonton wayang.

Menurut laporan polis, teman lelaki mangsa parah kerana dipukul dengan batang besi.

Mangsa wanita mengalami kecederaan dalaman yang teruk selepas dirogol dan dipukul dengan senjata yang sama.

Mangsa kemudian dicampak di tepi jalan dalam keadaan bogel.

Dua minggu selepas itu, mangsa menemui ajal ketika dirawat di sebuah hospital di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:00 AM