Matthew Sewell perunding kesihatan hospital didakwa di mahkamah di Teesside, United Kingdom atas tuduhan menipu seorang wanita dengan tidak memakai kondom ketika melakukan hubungan intim.
Matthew Sewell perunding kesihatan hospital didakwa di mahkamah di Teesside, United Kingdom atas tuduhan menipu seorang wanita dengan tidak memakai kondom ketika melakukan hubungan intim.
Agensi

London: Seorang perunding kesihatan sebuah hospital didakwa di mahkamah di Teesside, United Kingdom atas tuduhan menipu seorang wanita dengan tidak memakai kondom ketika melakukan hubungan intim.

Matthew Sewell, 40, dipercayai tidak menggunakan alat perlindungan itu dan didakwa atas tuduhan rogol selepas wanita itu tidak pernah bersetuju untuk mengadakan seks tanpa perlindungan.

DailyMail melaporkan, wanita berusia 23 tahun itu bertemu Sewell menerusi aplikasi Tinder, di mana profilnya mendakwa dia berusia 27 tahun.

Dia mengakui berbohong mengenai usianya apabila bertemu mangsa di sebuah bar di Middlesbrough.

Pendakwa, Paul Abrahams berkata, wanita itu menjemput Sewell yang juga seorang perunding di Hospital James Cook di Middlesbrough untuk melawat rumahnya.

Abraham memberitahu mahkamah, wanita itu mengakui minum sebotol cava tetapi tidak sehingga menjejaskan memorinya.

Juri diberitahu, mereka kemudian memasuki bilik tidur sebelum Sewell menawarkan melakukan urutan sebelum menanggalkan pakaian.

Abrahams berkata, mangsa kemudian melihat Sewell sudah berbogel dan memberitahu lelaki itu supaya memakai kondom sebelum melakukan hubungan intim.

“Sebelum ini, mangsa kecewa dengan keputusan Sewell tidak mahu memakai alat perlindungan berkenaan.

“Apabila dia menyerahkan kondom kepada Sewell, lelaki itu mengambilnya seterusnya berpaling.

“Mangsa mengandaikan Sewell menggunakan kondom berkenaan, jika tidak pastinya dia tidak bersetuju dengan hubungan seterusnya,” katanya.

Dalam prosiding itu, Abrahams dalam hujahnya berkata, Sewell mengakui kesalahan dan merayu supaya mangsa tidak melaporkan hal berkenaan berikutan bimbang memusnahkan kariernya.

“Sewell kemudian menghubungi mangsa memberitahu salah seorang pasangannya sebelum itu menghidap jangkitan seksual dan meminta mangsa mendapatkan rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:33 PM