Sekumpulan unta berlegar dalam keadaan padang pasir dilitupi salji. FOTO Agensi
Sekumpulan unta berlegar dalam keadaan padang pasir dilitupi salji. FOTO Agensi
Agensi

SEKIRANYA ditanya mana-mana individu mengenai bayangan mereka berkaitan Arab Saudi, mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke negara berkenaan pasti membayangkan kawasan yang panas dan berpasir dengan beberapa ekor unta di sana sini.

Namun, keadaan itu ternyata berbeza apabila seorang pengguna media sosial berkongsi klip video mengenai keadaan semasa di Arab Saudi.

The Independent melaporkan, kira-kira 193 kilometer dari Laut Merah, ribut yang dahsyat menyebabkan salji turun di padang pasir berhampiran Tabuk yang menyaksikan unta di lokasi berkenaan seolah-olah kebingungan dengan keadaan asing itu.

Suhu di kawasan berkenaan kebiasannya mencecah 4C dengan keadaan sedikit kering namun, sepatutnya tiada salji yang turun.

Bagaimanapun, salji bukanlah perkara pelik yang berlaku di Arab Saudi kerana kejadian sama pernah dilaporkan berlaku pada April 2019.

Ahli Meteorologi Kanan AccuWeather, Eric Leister berkata, salji berkenaan terhasil akibat ribut yang beredar dari selatan Eropah.

“Ribut yang kuat berlaku di selatan Eropah dan Mediterranean serta menuju ke Timur Tengah minggu lalu, menolak udara sejuk ke benua berkenaan yang menghasilkan salji.

“Ia bukanlah perkara gila untuk mereka menerima salji, ia hanya cuaca kering,” katanya.

Ribut yang sama juga menyebabkan berlakunya banjir besar dan runtuhan salji di Iran, Pakistan dan Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:53 PM