Soleimani. Foto AFP
Soleimani. Foto AFP
BERNAMA

PANGLIMA Tentera Pakistan meminta semua pihak bertenang susulan pembunuhan komander tertinggi tentera elit Iran Qassem Soleimani pada Jumaat, lapor agensi berita rasmi IRNA.

Sayap media tentera, Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa Jeneral Qamar Javed Bajwa menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dan membincangkan situasi serantau termasuk kesan yang mungkin berlaku susulan peningkatan ketegangan baru-baru ini di Timur Tengah.

“Panglima Tentera Pakistan (COAS) menegaskan keperluan untuk bertenang dan membabitkan diri secara konstruktif oleh semua pihak bagi meredakan situasi demi keamanan dan kestabilan.

“COAS turut mengulangi keperluan mengekalkan fokus terhadap kejayaan Proses Damai Afghanistan,” menurut kenyataan itu di Islamabad.

Terdahulu, Kementerian Luar Pakistan melalui satu kenyataan melahirkan ‘kebimbangan mendalam’ berhubung ketegangan yang berlaku dan menggesa semua pihak agar bertenang.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan menyebut komander itu mati syahid dalam satu serangan helikopter AS pada pagi Jumaat ketika menjalankan tugas di Baghdad.

Sementara itu, Pemimpin Agung Revolusi Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengumumkan tiga hari sebagai tempoh berkabung di seluruh negara susulan kematian Soleimani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 12:28 PM