AMBULANS membawa mengsa yang cedera untuk rawatan di Baghdad. FOTO AFP
AMBULANS membawa mengsa yang cedera untuk rawatan di Baghdad. FOTO AFP
AFP/Reuters

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 23 orang termasuk tiga polis terbunuh dan 127 yang lain cedera selepas penunjuk perasaan diserang kumpulan tidak dikenali ketika protes antikerajaan pada lewat Jumaat.

Menurut laporan, perhimpunan yang pada mulanya aman tiba-tiba bertukar ganas pada waktu malam apabila kumpulan lelaki bersenjata menaiki pikap menyerang sebuah bangunan besar di mana penunjuk perasaan berlindung sejak beberapa minggu lalu dan melepaskan tembakan untuk memaksa mereka keluar dari situ.

Puluhan pemuda dilihat meluru keluar dalam keadaan panik untuk menyelamatkan diri dan menuju ke Dataran Tahrir.

Mereka turut meminta bantuan di media sosial supaya orang ramai keluar berhimpun di Dataran Tahrir. Susulan itu, sebelum Subuh semalam ratusan orang berkumpul di lokasi berkenaan.

Kumpulan bersenjata itu dilihat merayau jalan di sekitar dataran berkenaan sebelum cuba mara ke arah Tahrir sebelum diusir pasukan keselamatan, kata saksi.

Keganasan lewat Jumaat itu kejadian terburuk berlaku di Baghdad yang melihat bantahan sejak beberapa minggu lalu, dalam pada Amerika Syarikat menuduh Iran mencampuri politik Iraq.

Anggota keselamatan belum mengenal pasti penyerang terbabit.

SEORANG penunjuk perasaan berpakaian seperti Santa Claus dengan topeng gas duduk memprotes di depan gambar rakannya yang terbunuh dalam protes antikerajaan. FOTO AFP
SEORANG penunjuk perasaan berpakaian seperti Santa Claus dengan topeng gas duduk memprotes di depan gambar rakannya yang terbunuh dalam protes antikerajaan. FOTO AFP

Kejadian itu membawa jumlah kematian kepada lebih 450 orang manakala 20,000 cedera sejak bantahan bermula pada 1 Oktober lalu di Baghdad dan selatan negara itu yang majoriti penduduknya Syiah.

Seorang anggota perubatan di klinik lapangan berkata, dia merawat sekurang-kurangnya lima individu kerana luka ringan akibat pisau.

Penunjuk perasaan membantah di Dataran Tahir sejak awal Oktober lalu menuduh kerajaan sebagai korup, tidak cekap dan tunduk kepada Iran.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi menyuarakan kesediaan meletak jawatan susulan tunjuk perasaan berterusan.

Sementara itu, imam Syiah tertinggi Iraq, Ayatollah Ali al-Sistani menggesa perdana menteri baharu dipilih tanpa dipengaruhi unsur luar, dipercayai merujuk kepada Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:01 AM