PENDUDUK menyerbu balai polis tanda protes selepas mayat rentung doktor haiwan ditemui, minggu lalu. FOTO Agensi
PENDUDUK menyerbu balai polis tanda protes selepas mayat rentung doktor haiwan ditemui, minggu lalu. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang wanita ditembak mati dan dibakar selepas dipercayai dirogol, kurang seminggu selepas penemuan mayat rentung seorang doktor haiwan yang juga diserang secara seksual mencetuskan kemarahan rakyat India.

Dalam kejadian di Buxar, Bihar, mayat yang tidak diketahui usianya itu ditemui pada jam 6 pagi di satu padang, lapor NDTV.

Mayat itu rentung dari pinggang ke atas dan mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh, kata jurucakap polis Satish Kumar.

Menurutnya, kejadian mungkin berlaku pada lewat Isnin.

“Usianya tidak diketahui dan sama ada dia bawah umur atau tidak cuma akan disahkan menerusi laporan bedah siasat,” katanya.

Times of India memetik sumber melaporkan mangsa mungkin berusia 20-an.

PTI melaporkan, mangsa dirogol dan ditembak di kepala sebelum mayatnya dibakar untuk menghapuskan barang bukti. Polis turut menemui kelongsong peluru kosong di tempat kejadian.

Times of India memetik pegawai perubatan di Buxar, Dr B N Choubey berkata: “Kelamin mangsa mengalami lecuran teruk menyebabkan kami tidak dapat mengambil spesimen untuk ujian. Bagaimanapun, bukti menunjukkan mangsa berkemungkinan dirogol beramai-ramai sebelum dibunuh.

“Usianya dianggarkan 20 hingga 22 tahun dan mayatnya masih memakai stoking serta kasut. Kukunya dicat, mangsa tidak hamil dan sama ada bujang atau baru berkahwin.”

Ratusan penduduk kampung berhimpun di lokasi mayat itu ditemui, tetapi tidak seorang pun dapat mengenal pastinya disebabkan keadaan yang terlalu rentung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:35 PM