GEMPA bumi kuat melanda berhampiran sempadan Thailand dan Laos.
GEMPA bumi kuat melanda berhampiran sempadan Thailand dan Laos.
Reuters/AFP

BANGKOK: Gempa bumi kuat melanda berhampiran sempadan Thailand dan Laos hari ini, tetapi tiada laporan mengenai mangsa atau kerosakan utama.

Reuters yang memetik Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi berkekuatan 6.1 magnitud pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 92 kilometer ke timur laut Muang Nan sekitar 6.50 pagi waktu tempatan.

Gempa itu dirasai di kawasan utara Thailand serta orang ramai yang berada di atas bangunan tinggi sejauh Bangkok, lebih 600 kilometer ke selatan, malah penduduk berhampiran pusat gempa itu turut merasakan beberapa gempa susulan.

AFP melaporkan, gegaran itu dirasai sejauh lebih 700 kilometer di ibu kota Thailand, Bangkok.

“Gegaran akibat gempa di Laos pada 6.50 pagi dirasai di kawasan utara dan timur laut Thailand, Bangkok serta luar bandar. Sehingga kini tiada laporan kerosakan,” kata pegawai Jabatan Meteorologi Thailand, Sophon Chaila.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:45 AM