Biden dikatakan menghina pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. FOTO Agensi
Biden dikatakan menghina pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. FOTO Agensi
Reuters

SEOUL: Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA menggelarkan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden sebagai ‘anjing gila’ yang perlu dihapuskan.

Serangan peribadi KCNA terhadap calon presiden Demokratik itu susulan Biden dikatakan menghina pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

KCNA tidak mengatakan bagaimana Biden menghina Kim, namun ahli politik itu dilaporkan mengkritik dasar Presiden Donald Trump dengan mengatakan beliau melindungi diktator pembunuh.

Dalam ulasannya , KCNA yang salah mengeja nama Biden melaporkan bekas naib presiden itu menunjukkan tanda-tanda ‘peringkat akhir penyakit dementia’ dan ‘sudah tiba masanya beliau meninggal dunia’.

“Orang seperti itu berani memfitnah kepimpinan tertinggi Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

“Anjing gila seperti Baiden (Biden) boleh mencederakan ramai orang sekiranya ia dilepaskan. Ia mesti dipukul dengan kayu sampai mati sebelum terlambat,” tulisnya.

Kim dan Trump sudah bertemu sebanyak tiga kali untuk membincangkan hubungan lebih baik di antara dua negara serta menamatkan program senjata nuklear Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:33 PM