PATRICIA bercakap kepada wartawan selepas dibebaskan daripada kumpulan perusuh yang menangkapnya. FOTO EPA
PATRICIA bercakap kepada wartawan selepas dibebaskan daripada kumpulan perusuh yang menangkapnya. FOTO EPA
Agensi

SUCRE (Bolivia): Beratus-ratus perusuh mengheret keluar seorang datuk bandar dari pejabat sebelum menyimbah cat merah dan memotong rambut wanita itu kerana dituduh menyebabkan kematian dua penunjuk perasaan antikerajaan.

Daily Mail melaporkan, Datuk Bandar Vinto, Patricia Arce dari parti MAS turut dihina selama empat jam dengan dipaksa melutut dan menandatangani surat peletakan jawatan.

Wanita terbabit diarak kumpulan penunjuk perasaan bertopeng yang membawa kayu sambil bersorak ‘pembunuh, pembunuh’ sebelum memotong rambutnya.

Menurut komander polis wilayah, Walter Alvis, sekumpulan anggota polis menyelamatkan Patricia daripada tahanan kumpulan perusuh itu dengan menaiki motosikal dan van.

Terdahulu, BBC melaporkan kumpulan itu menyekat laluan di sebuah jambatan ke Vinto selepas dua penunjuk perasaan dilaporkan mati di bandar itu.

Pelajar berusia 20 tahun itu maut akibat kecederaan dalam pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan pro dan antikerajaan.

Kematian itu menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang sejak protes tercetus 20 Oktober lalu.

Bolivia dicengkam dengan protes ganas susulan kemenangan Presiden Evo Morales yang didakwa sudah diatur dalam pilihan raya.

GAMBAR menunjukkan Patricia diarak penunjuk perasaan sebelum rambutnya dipotong. FOTO Agensi
GAMBAR menunjukkan Patricia diarak penunjuk perasaan sebelum rambutnya dipotong. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 9:13 AM