PENDUDUK membawa keluar mayat pekerja yang ditembak pemberontak. FOTO REUTERS
PENDUDUK membawa keluar mayat pekerja yang ditembak pemberontak. FOTO REUTERS
Agensi

INDIA mengumumkan semalam, secara rasmi akan memisahkan Kashmir dan Jammu menjadi dua wilayah persekutuan bagi mengukuhkan cengkaman selepas melucutkan kuasa autonomi wilayah terbabit tiga bulan lalu.

Selepas melucutkan autonomi Kashmir Ogos lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan penubuhan dua negeri di wilayah itu yang ditadbir secara langsung dari New Delhi iaitu Jammu dan Kashmir serta wilayah Ladakh yang dihuni majoriti penduduk Buddha.

Bekas pegawai kanan dalam kerajaan negeri Gujarat, GC Murmu akan mengangkat sumpah sebagai gabenor Jammu dan Kashmir manakala Radha Krishna Mathur menjadi gabenor Ladakh, daerah tanah tinggi yang sudah lama berusaha keluar dari Kashmir.

Kerajaan mahu menjadikan Ladakh yang juga menjadi kawasan pertikaian dengan China sebagai kawasan pelancongan melalui pergunungan bersalji.

Puluhan ribu tentera masih ditempatkan di Kashmir yang dikenakan larangan perjalanan berkurung sejak tiga bulan lalu selain talian telefon bimbit dan Internet disekat.

Kelmarin, lima pekerja binaan dari timur India ditembak mati di daerah Kulgam, 70 kilometer dari Srinagar dengan pihak berkuasa mendakwa ia dilakukan pemberontak.

AFP melaporkan seorang pegawai polis memberitahu sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu rumah penginapan pekerja terbabit dan menembak mati seorang sebelum membawa lima lagi mangsa ke satu kawasan dan menembak mereka.

Empat daripada pekerja itu terbunuh manakala seorang lagi cedera parah.

Kerajaan mendakwa pembunuhan pekerja dan pemandu lori mengangkut epal dari Kashmir adalah kempen pemberontak menakut-nakutkan orang luar agar tidak datang bekerja di Kashmir.

Sejak awal bulan ini, lima pemandu lori dan seorang peniaga dari luar Kashmir mati ditembak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 1:34 PM