Donald Trump semalam, mengumumkan pengharaman penjualan cecair vape berperisa.
Donald Trump semalam, mengumumkan pengharaman penjualan cecair vape berperisa.
AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam, mengumumkan pengharaman penjualan cecair vape berperisa.

Langkah itu diambil bagi membendung peningkatan penggunaannya dalam kalangan remaja, susulan peningkatan kes kematian yang dikaitkan dengan vape.

Trump berkata, sebagai ibu bapa, dia dan isteri, Melania bimbang susulan peningkatan kes penyakit paru-paru dalam kalangan remaja, yang sudah mengorbankan enam mangsa dan menyebabkan ratusan lagi jatuh sakit.

“Kami berdua menyedari perkara ini. Ramai orang sudah mengetahui hal ini, dan sudah ada yang mati akibat vape,” katanya dalam satu sidang media di Rumah Putih.

Sementara itu, Setiausaha Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan, Alex Azar berkata, pihaknya akan mengeluarkan peraturan mengenai larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Buat masa ini, semua cecair vape berperisa selain perisa tembakau akan dikeluarkan daripada pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:56 AM