KERAJAAN Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah. FOTO Agensi
KERAJAAN Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah. FOTO Agensi

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah ke negara itu termasuk pembatalan yuran mengerjakan umrah berulang.

Dengan perintah itu bayaran 2,000 riyal (RM2,226) untuk mengerjakan umrah berulang dibatalkan.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Salih Bentin, mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman kerana mengeluarkan keputusan berkenaan.

“Dekri diraja adalah sebahagian usaha kepimpinan untuk memudahkan ketibaan umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan haji dan umrah,” kata Dr Mohammad Salih dipetik Arab News.

Katanya, perintah yang dikeluarkan itu menggambarkan kesediaan pentadbiran diraja untuk meningkatkan jumlah jemaah berikutan projek infrastruktur besar-besaran dan pembangunan perkhidmatan di Makkah, Madinah dan tempat suci lain.

Katanya, dekri itu menyokong usaha mencapai satu daripada objektif penting pelan pembaharuan Visi 2020 iaitu untuk menerima 30 juta jemaah umrah menjelang tahun berkenaan dan menyediakan perkhidmatan terbaik supaya mereka dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan tenang. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 10:35 AM