PELAJAR Papua sertai demonstrasi  menyeru pembebasan rakan mereka yang ditahan di Jakarta. - AFP
PELAJAR Papua sertai demonstrasi menyeru pembebasan rakan mereka yang ditahan di Jakarta. - AFP
Agensi

JAKARTA: Lagu patriotik Indonesia dimainkan melalui pembesar suara di pusat tahanan Briged Bergerak Polis Indonesia di Depok, Jawa Barat, yang menempatkan penunjuk perasaan dan aktivis Papua.

Menurut peguam Persatuan Bantuan Perundangan Jakarta, Nelson Simamora, yang melawat aktivis Surya Anta, antara yang ditahan di pusat itu, tindakan berkenaan bagi memastikan semua tahanan mendengarnya.

Surya ialah jurucakap Barisan Rakyat Papua Barat Indonesia (FRI-WP) ditahan pada 31 Ogos lalu kerana dituduh derhaka apabila menunjuk perasaan di depan Istana Merdeka di Jakarta Tengah serta beberapa tempat lain pada 28 Ogos.

Jakarta Post melaporkan, bersama Surya, tujuh pelajar dari Papua turut ditahan kerana terbabit dalam tunjuk perasaan itu.

Penyelaras Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras), Yati Andriyani, yang mewakili tahanan terbabit berkata, mereka mendengar lagu itu dimainkan ketika berjalan ke kereta selepas lawatan.

“Kami tidak pasti lagu itu dimainkan sepanjang hari serta khas untuk Surya dan rakan-rakannya,” katanya.

Rakan baik Surya, seorang paderi, Suarbudaya Rahadian berkata, Surya ditahan berasingan.

“Surya beritahu saya dia ditahan di sel berbeza, tidak bersama tahanan lain. Dia hanya boleh keluar dari sel ketika soal siasat atau bertemu peguamnya,” katanya.

Suarbudaya mengesahkan lagu patriotik dimainkan sepanjang masa di kompleks berkenaan untuk didengar tahanan.

“Pertemuan dengan tahanan, termasuk Surya dikawal ketat. Tentera bersenjata berdiri dua meter di kiri dan kanan. Ada pegawai berpakaian biasa merakam perbualan kami melalui video,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:30 AM