GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mail Online

LONDON: Seorang wanita menjadi individu pertama di Britain yang didapati bersalah membunuh menggunakan alat kawalan jauh televisyen selepas membaling objek itu ke kepala bapanya yang uzur.

Nicola Townsend, 50, membaling alat kawalan jauh itu ke arah bapanya, Terence Townsend, 78, menyebabkan kepala mangsa cedera selepas bertengkar di rumah mereka di Bath pada Disember 2017.

Mahkamah Bristol diberitahu, Nicola turut menolak bapanya hingga terjatuh dan menyebabkan beberapa tulang rangka lelaki itu patah.

Townsend terpaksa menghubungi ambulans untuk meminta bantuan selepas anaknya itu meninggalkannya seorang diri di rumah.

Lelaki itu yang uzur dan menghidap osteoporosis meninggal dunia selepas 12 hari dirawat di hospital.

Pendakwa raya, Fiona Elder memberitahu mahkamah, Nicola mengaku membaling alat kawalan jauh itu ke arah bapanya hingga menyebabkan lelaki itu cedera.

Nicola pada Selasa lalu didapati bersalah menyebabkan kematian bapanya dan mahkamah menetapkan tarikh lain untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 2:49 PM