MARK Rutte.
MARK Rutte.
AFP

Brussels: Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, tidak senang dengan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad kerana mewujudkan ‘kekeliruan’ apabila mengkritik keputusan untuk mendakwa empat individu yang dituduh bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH-17.

Dr Mahathir berkata di Kuala Lumpur hari ini, kerajaan Malaysia kurang senang dengan proses siasatan insiden itu sejak dari mula lagi kerana ia dijadikan isu politik.

“Kami dukacita kerana sejak awal lagi, ia menjadi isu politik tentang bagaimana untuk menuduh Russia berkaitan salah laku sungguhpun mereka belum mengkajinya lagi,” katanya.

Rutte yang menghadiri persidangan EU di Brussels berkata, Kementerian Luar Belanda akan menghubungi kerajaan Malaysia mengenai kenyataan Mahathir itu dan akan menunggu hasilnya sebelum membuat kenyataan lanjut.

Pengerusi yayasan yang mewakili mangsa rakyat Belanda, Piet Ploeg, menganggap kenyataan Perdana Menteri Malaysia itu sebagai ‘pelik dan tidak wajar’.

Jawatankuasa siasatan diketuai Belanda memutuskan rakyat Russia Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko, bertanggungjawab menembak jatuh pesawat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:56 PM