MAHJABEEN ketika membawa bayinya yang tidak sihat ke dewan perwakilan daerah sebelum diarah keluar. FOTO Ihsan Mahjabeen Sheran
MAHJABEEN ketika membawa bayinya yang tidak sihat ke dewan perwakilan daerah sebelum diarah keluar. FOTO Ihsan Mahjabeen Sheran
Agensi

ISLAMABAD: Seorang wakil rakyat wanita yang diarah meninggalkan Dewan Perwakilan Wilayah Balochistan kerana membawa bayinya yang tidak sihat ke dalam dewan, berikrar berjuang sehingga pusat jagaan kanak-kanak disediakan di dewan itu serta jabatan kerajaan.

Pada 29 April lalu, wakil rakyat itu, Mahjabeen Sheran dikritik kakitangan dan wakil rakyat lain kerana membawa anak lelakinya berusia tujuh bulan kerana tidak boleh ditinggalkan di rumah berikutan tidak sihat ketika persidangan.

Menurut laporan Al Jazeera, beliau kemudian diarah meninggalkan dewan.

“Saya perlu membuat pilihan sama ada menghadiri sidang atau menjaga anak yang tidak sihat di rumah. Saya kemudian memutuskan membawanya bersama kerana tidak mahu tertinggal persidangan itu,” katanya.

Mahjabeen dari daerah Kech menjadi wakil rakyat pada 2018 yang mengisi kerusi untuk wanita.

Media Pakistan melaporkan, beliau berkata: “Saya malu kerana lelaki di persidangan itu mengejek serta membuat jenaka kerana saya membawa anak.

“Tiada siapa yang berdiri membantah mereka atau menyokong saya.”

Menurutnya, beliau beberapa kali meminta setiausaha dewan menyediakan bilik sebagai pusat jagaan anak namun tidak diendahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 7:47 AM