MAHARAJA Akihito,  85, melakukan upacara keagamaan di Istana Imperial, Tokyo, semalam, antara tradisi sempena majlis beliau turun takhta sebagai Maharaja Jepun. FOTO EPA
MAHARAJA Akihito, 85, melakukan upacara keagamaan di Istana Imperial, Tokyo, semalam, antara tradisi sempena majlis beliau turun takhta sebagai Maharaja Jepun. FOTO EPA
Agensi

TOKYO: Maharaja Akihito secara rasmi melepaskan takhtanya semalam, penurunan takhta pertama dalam sejarah 200 tahun Jepun sebagai kerajaan monarki tertua dunia manakala anaknya membuat persiapan untuk ditabalkan sebagai maharaja baru.

Dalam ruang ‘Bilik Pine’ di Istana Imperial, Tokyo, Akohito, 85, melakukan upacara penurunan takhta di depan lambang diraja iaitu pedang kuno dan permata suci bagi mengesahkan upacara berkenaan.

Dalam ucapan terakhirnya, Akihito berterima kasih kepada rakyat Jepun dan beliau akan berdoa untuk keamanan dan kebahagiaan penduduk Jepun serta dunia.

Hujan tidak menghalang ratusan orang berkumpul di luar istana ketika upacara bersejarah itu yang dihadiri kira-kira 300 jemputan, termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe serta kerabat diraja.

Belum pernah berlaku dalam sejarah Jepun maharaja turun takhta ketika masih hidup kerana sebelum ini, takhta hanya kosong berikutan kematian maharaja.

Secara teknikal, Akihito kekal sebagai maharaja sehingga tengah malam tadi, sebelum Naruhito mengambil alih untuk era baru ‘Reiwa’ yang bermaksud ‘keindahan harmoni’ sepanjang pemerintahannya.

Semalam, Akihito yang memakai kimono berwarna emas dan topi tinggi hitam, menyampaikan penurunan takhtanya kepada roh nenek moyang serta tuhan Shinto.


Hari ini, Naruhito, 59, akan mewarisi lambang diraja dalam upacara selama 10 minit yang tidak boleh dihadiri wanita, termasuk isterinya, Masako. Beliau kemudian akan membuat ucapan pertama kepada rakyat sebagai maharaja ke-126.

Orang ramai berkumpul di depan istana menunggu detik pertukaran maharaja itu serta di Shibuya, Tokyo. Kawalan keselamatan ditingkatkan.

Upacara pertabalan rasmi akan diadakan pada 22 Oktober apabila Naruhito akan berarak di jalan raya Tokyo serta menerima ucapan tahniah daripada pemimpin dunia.

Dilahirkan pada 1933 ketika era bapanya, Maharaja Hirohito membenarkan Jepun menjadi kuasa tentera di Asia, Akihito baru berusia 11 tahun ketika Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Akihito bertemu isterinya, Michiko ketika satu kejohanan tenis 1959, menyentuh hati seluruh dunia apabila mereka berlutut di depan mangsa yang terselamat dalam bencana gempa bumi dan tsunami 2011.

Berikutan upacara penurunan takhta itu, cuti umum diisytiharkan selama 10 hari di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 8:02 AM