KEADAAN banjir buruk di wilayah Durban. FOTO/AFP
KEADAAN banjir buruk di wilayah Durban. FOTO/AFP
AFP

JOHANNESBURG: Banjir buruk yang melanda Afrika Selatan dilaporkan meragut 51 nyawa selain menyebabkan ribuan lagi penduduk hilang tempat tinggal.

Banjir yang tercetus akibat hujan lebat itu memusnahkan sebahagian besar rumah penduduk dan infrastruktur di tenggara negara itu membabitkan Wilayah KwaZulu-Natal dan Cape Timur, lapor AFP.

Pasukan penyelamat masih lagi berusaha mencari mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan tanah.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, terdapat lebih 1,000 orang yang hilang tempat tinggal.

Menurutnya, dia bimbang dengan keadaan hujan lebat itu yang mungkin menimbulkan situasi berisiko terhadap penduduk di KwaZulu-Natal.

Katanya, kerajaan bersedia menubuhkan tabung kecemasan untuk membantu semua mangsa membina semula hidup baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 10:48 PM