MIKHAIL  Gorbachev Dom
MIKHAIL Gorbachev Dom
Agensi

JAKARTA: Mikhail Gorbachev akan bertanding dalam pilihan raya Indonesia minggu depan, namun beliau bukanlah bekas pemimpin terkenal Sovier Union yang membantu menamatkan Perang Dingin.

Mikhail Gorbachev Dom, berusia 32 tahun, adalah seorang daripada 245,000 calon pilihan raya Indonesia yang bertanding untuk kerusi parlimen (dewan perwakilan) pada 17 April ini.

Bekas penyelidik alam sekitar yang dilahirkan pada 1986 itu menceritakan bagaimana beliau mendapat nama sempena nama bekas pemimpin Soviet yang memenangi Anugerah Nobel itu.

“Ibu bapa saya yakin akan mendapat anak perempuan, namun apabila saya dilahirkan, mereka menjadi panik kerana tidak menyediakan nama untuk anak lelaki,” katanya.

Menurut Mikhail yang tinggal di Jakarta, beliau tidak diberi nama selama seminggu sehingga ibu bapanya ternampak nama Gorbachev di akhbar.

“Bapa menganggap nama itu menarik dan dia sendiri menyanjung pemimpin Soviet Union membuatkannya mahu memberi nama itu kepada anak lelakinya dan saya pun dinamakan Mikhail Gorbachev,” katanya.

Namun, Mikhail mengakui beliau tidak begitu selesa dengan nama berkenaan dan lebih sukakan nama panggilan Gorba.

Beliau memasuki politik selepas kecewa dengan tindakan membabitkan alam sekitar.

“Saya menyedari perlu memasuki politik agar perjuangan saya membabitkan dasar alam sekitar dilaksanakan.

“Kini, saya rasa nama Mikhail Gorbachev memberi kelebihan kepada saya kerana orang ramai mudah ingat dan tidak akan melupakan nama itu walaupun mereka tidak ingat wajah saya.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:00 AM