PENUNJUK perasaan Palestin berlindung apabila askar Israel melepaskan gas pemedih mata dalam bantahan di sempadan Israel-Gaza kelmarin. FOTO EPA
PENUNJUK perasaan Palestin berlindung apabila askar Israel melepaskan gas pemedih mata dalam bantahan di sempadan Israel-Gaza kelmarin. FOTO EPA
AFP

Bandar Gaza: Puluhan penduduk Palestin cedera di sepanjang pagar sempadan Israel-Gaza ketika bantahan mingguan kelmarin, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

Sekurang-kurangnya 83 orang dirawat di hospital di sini, kata kementerian dalam satu kenyataan ketika ribuan penunjuk perasaan sekali lagi mengadakan demonstrasi di sempadan dikawal ketat itu.

Ia tidak menyebut berapa ramai daripada yang dirawat cedera akibat ditembak namun tiga orang dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Seorang wartawan AFP memberitahu, jumlah itu bagaimanapun rendah berbanding minggu sebelumnya.

Jurucakap tentera Israel berkata, kira-kira 10,500 penduduk Palestin mengambil bahagian dalam bantahan itu, sesetengahnya membaling batu ke arah tentera Zionis.

Sekurang-kurangnya 263 penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis sejak bantahan dan pertembungan bermula setahun lalu. Hanya dua tentera Zionis terbunuh dalam tempoh sama.

Lima lelaki terbunuh 31 Mac lalu ketika puluhan ribu berkumpul untuk menyambut ulang tahun pertama bantahan.

Satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Februari lalu menuduh tentera Zionis sengaja melepaskan tembakan ke arah orang awam, mengatakan ia mungkin bersamaan jenayah perang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:03 AM