ANTARA pelancong yang merakam swafoto ketika pesawat berlepas di pantai Phuket. FOTO: Agensi
ANTARA pelancong yang merakam swafoto ketika pesawat berlepas di pantai Phuket. FOTO: Agensi
Agensi

BANGKOK: Pelancong dianggap melakukan kesalahan berat sekiranya didapati merakam swafoto ketika pesawat berlepas di pantai Phuket yang boleh dikenakan hukuman mati kerana mengganggu juruterbang, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa memberi amaran kepada pelancong bahawa ia adalah hukuman paling maksimum yang boleh dikenakan mengikut Akta Navigasi Udara 1978 sekiranya mereka masih berdegil, lapor Daily Mail.

Manakala hukuman lebih ringan termasuk denda sehingga 40,000 baht (RM5,126) atau penjara sehingga 20 tahun.

Kebanyakan pelancong berkunjung ke situ untuk merakam swafoto di kawasan pantai dengan latar belakang pesawat berlepas dari lapangan terbang sibuk itu sebelum memuat naik gambar di akaun media sosial.

Namun tindakan itu menimbulkan kemarahan pihak lapangan terbang yang berikrar ingin menutup sebahagian pantai kerana boleh menyebabkan kemalangan.

Mereka tidak menjelaskan bagaimana ia boleh mengundang bahaya tetapi tindakan itu dipercayai berpotensi memberi gangguan kepada juruterbang, sama seperti dron dan pen laser.

Timbalan pengurus besar lapangan terbang, Vijit Keawsaitiam berkata, pihaknya sedang berusaha mewujudkan satu zon larangan di bawah laluan pesawat untuk menghalang pelancong mengambil gambar terlalu dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:36 AM