PENDUDUK Palestin berhimpun. FOTO/AFP
PENDUDUK Palestin berhimpun. FOTO/AFP
AFP

Gaza City: Puluhan ribu penduduk Gaza berhimpun di sempadan Israel untuk menandakan setahun sejak protes dan pertempuran tercetus di situ.

Seorang remaja Palestin berusia 17 tahun mati ditembak tentera Israel dalam pertempuran di timur Gaza City, kata kementerian kesihatan Gaza. Seramai 59 orang cedera termasuk 13 akibat ditembak.

Terdahulu, seorang lagi lelaki Palestin mati ditembak tentera Israel ketika bantahan sepanjang malam menjelang protes utama, kata kementerian itu.

Mesir berusaha menjadi pengantara antara Israel dan Hamas untuk mengekang keganasan dan mengelak tindak balas tentera Israel seperti yang berlaku dalam bantahan sebelum ini.

Tidak banyak pertempuran berlaku, namun tidak semua orang mengendahkan amaran supaya tidak menghampiri pagar sempadan.

Yusef Ziyada, 21, yang wajahnya dicat warna bendera Palestin berkata: “Kami akan bergerak ke sempadan sekalipun maut. Kami tidak akan meninggalkan tempat ini. Kami akan kembali ke bumi kami.”

Puluhan orang Palestin dilihat menghampiri pagar sempadan di timur Jabalia sekitar waktu tengah hari sebelum mengundur apabila tentera Israel melepaskan gas pemedih mata. Penunjuk perasaan membalas dengan membaling batu terhadap tentera Israel serta membakar tayar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 10:18 PM