BANGUNAN lima tingkat yang runtuh di sebuah tapak pembinaan di Dharwad. FOTO petikan Youtube
BANGUNAN lima tingkat yang runtuh di sebuah tapak pembinaan di Dharwad. FOTO petikan Youtube
AFP

New Delhi: Dua orang maut dan puluhan lagi dikhuatiri terperangkap dalam bangunan lima tingkat yang runtuh di sebuah tapak pembinaan di Dharwad, selatan Karnataka, petang tadi.

Pegawai bomba dan kecemasan Dharwad, Srikant memberitahu AFP, bangunan yang runtuh adalah salah satu blok pangsapuri yang masih dalam pembinaan.

“Dua orang ditemui tidak bernyawa, sementara lapan berjaya diselamatkan dan kami sudah menghantar pasukan menyelamat serta jentera untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pegawai kecemasan berkata, seramai 152 orang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu.

Pegawai tertinggi perubatan Dharwad, Giridhar Kokinad enggan mengesahkan jumlah sebenar kematian dan memberitahu seramai 13 mangsa cedera sudah dihantar ke hospital.

Kejadian bangunan runtuh di India sering berlaku dan semakin kerap sejak beberapa tahun ini.

Tahun lalu, sembilan orang maut selepas bangunan enam tingkat di pinggir bandar ibu kota runtuh dan kejadian sama yang berlaku September lalu meragut lima nyawa selepas satu blok pangsapuri di Delhi runtuh.

ORANG awam cuba mengeluarkan mangsa runtuhan. FOTO petikan Youtube
ORANG awam cuba mengeluarkan mangsa runtuhan. FOTO petikan Youtube

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 10:42 PM