Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
AFP

FRANKFURT: Jerman merancang mewujudkan undang-undang melindungi serangga dengan mengurangkan penggunaan racun perosak dan bersedia menyalurkan wang untuk penyelidikan berkaitan.

“Sebagai manusia kita memerlukan serangga dan ia berhak dilindungi menurut undang-undang tersendiri,” kata Menteri Alam Sekitar, Svenja Schulze kepada akhbar tempatan, Bild am Sonntag.

Menurut agensi akhbar Jerman (DPA), berdasarkan pelan tindakan itu, kerajaan perlu menyediakan pembiayaan tahunan sebanyak €100 juta euro (RM461 juta), termasuk €25 juta euro (RM115 juta) untuk penyelidikan.

Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan Jerman bakal menetapkan peraturan bagi penggunaan racun perosak serta pelbagai bahan berbahaya dalam habitat serangga, menurut satu dokumen.

Ia termasuk larangan penggunaan racun ‘glyphosate herbisida’ sehingga 2023.

“Kami bukan sahaja melindungi kumbang, tetapi semua serangga.” kata Schulze.

Antara lain, Jerman juga akan berhenti daripada meneroka tanah baharu sama ada untuk pembinaan jalan raya atau rumah sehingga 2050 dan mengehadkan penggunaan cahaya pada malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:23 PM