GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

BOGOTA: Tujuh pendatang tanpa izin maut dan 23 lagi dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki karam di Laut Caribbean, di luar barat laut Colombia.

Datuk Bandar Acandi, Lilia Cordoba, berkata bot yang membawa 18 dewasa dan 14 kanak-kanak itu karam selepas dibadai ombak besar pada awal pagi Isnin.

Tujuh mayat termasuk seorang kanak-kanak ditemui pada Selasa dan Rabu lalu di dua pantai di bahagian barat Choco, kata kenyataan dari tentera Colombia.

Bot itu adalah sebahagian daripada empat kapal kecil yang berlepas dari Pantai Capurgana di barat laut Colombia dan menuju ke Panama, kata Cordoba menerusi video kepada media.

Dua mangsa yang terselamat memberitahu, bot terbabit karam akibat terlebih muatan, kata datuk bandar.

Aktivis hak asasi Colombia, Rafael Bolanos memberitahu, kesemua pendatang itu berasal dari Afrika.

Teluk Uraba yang juga lokasi kejadian itu, adalah pintu masuk utama pendatang dari Afrika, Asia dan Haiti yang cuba masuk ke Amerika Syarikat melalui Caribbean dan menjadikan negara Amerika Tengah sebagai perhentian sementara.

Semenjak awal tahun ini, tentera Colombia sudah menyelamatkan 84 orang yang terkandas dalam kejadian kapal karam bersama 13 mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 2:53 PM