PEMANDANGAN bandar Chicago, Illinois yang dirakam dari Pantai North Avenue di Tasik Michigan kelmarin. - FOTO Reuters.
PEMANDANGAN bandar Chicago, Illinois yang dirakam dari Pantai North Avenue di Tasik Michigan kelmarin. - FOTO Reuters.
AFP

CHICAGO: Puluhan juta penduduk di Amerika Syarikat (AS) semalam berdepan dengan suhu sejuk melampau yang boleh meragut nyawa akibat pusaran kutub yang diramal melanda beberapa bahagian negara itu.

Cuaca melampau itu menyebabkan beberapa syarikat mengarahkan pekerja mereka berada di rumah, sekolah ditutup dan ratusan penerbangan dibatalkan.

Perkhidmatan Pos AS yang terkenal dengan komitmen mereka menyampaikan surat tanpa mengira keadaan cuaca juga dilaporkan menghentikan sementara penghantaran di Iowa akibat suhu sejuk melampau itu.

Suhu di hampir 12 negeri dari Dakota hingga Ohio diramalkan mencecah tahap paling sejuk sejak beberapa generasi lalu dan mungkin memecahkan rekod sedia ada.

“Pusaran kutub paling sejuk yang pernah melanda setakat ini bergerak dari selatan ke Midwest Atas sebelum bergerak ke dua pertiga bahagian timur AS.

“Suhu sejuk melampau dan mengancam nyawa bakal melanda bermula dari bahagian Midwest Atas sehingga Great Lakes dan seterusnya Lembah Ohio,” kata Perkhidmatan Cuaca Nasional.

Fenomena itu dipercayai berpunca dari pusingan udara artik daripada pusaran kutub yang lazimnya hanya mengelilingi Kutub Utara.

Perkhidmatan Cuaca Nasional meramalkan suhu antara -23 hingga -40 darjah Celsius menjelang semalam di seluruh Midwest dan tiupan angin boleh menjadikan suhu turun hingga -53 Celsius.

“Mereka yang terdedah dengan suhu sejuk melampau ini berisiko mengalami reputan fros dalam tempoh beberapa minit sahaja,” kata perkhidmatan itu.

Chicago, bandar ketiga terbesar di AS dijangka mengalami suhu lebih sejuk berbanding sebahagian Antartika.

Pihak berkuasa di Illinois, Michigan dan Wisconsin mengambil langkah kecemasan bagi menangani cuaca melampau berkenaan.

Sekolah, beberapa perniagaan dan agensi kerajaan di beberapa negeri juga mengumumkan penutupan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 2:16 PM