GAMBAR hiasan, sebuah kedai menjual produk ganja di Seattle, AS. - Agensi
GAMBAR hiasan, sebuah kedai menjual produk ganja di Seattle, AS. - Agensi
Reuters

Wellington: Kerajaan New Zealand akan membuat keputusan berhubung kelulusan ganja untuk kegunaan rekreasi dalam satu referendum ketika pilihan raya umum pada 2020 nanti.

Referendum itu adalah antara janji dibuat Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam perjanjian 2017 yang membawa kepada penubuhan kerajaan gabungan bersama parti Hijau dan NZ First.

Gabungan parti populis, pusat dan kiri itu mengakhiri pemerintahan Parti Nasional selama sembilan tahun.

“Keputusan kabinet ialah referendum itu akan diadakan semasa pilihan raya umum 2020. Perjanjian yang dibuat ialah ia akan beroleh keputusan (pada waktu itu),” kata Menteri Kehakiman Andrew Little kepada wartawan.

Undi ‘ya’ akan menjadikan New Zealand negara Asia Pasifik pertama membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi.

Kanada dan negara Eropah seperti Belanda dan Sepanyol serta beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) sudah mengambil tindakan meluluskan penggunaan rekreasi ganja.

Thailand pula dijangka muncul sebagai negara ASEAN pertama membenarkan penggunaan ganja untuk perubatan namun pertelingkahan masih berlaku antara firma antarabangsa dan tempatan berhubung kawalan ke atas pasaran yang dijangka memberi hasil lumayan itu.

Australia baru-baru ini memperkenalkan undang-undang meluluskan ganja bagi tujuan perubatan namun tidak membenarkan penggunaan rekreasi bahan itu.

Menurut Yayasan Dadah New Zealand, ganja ialah dadah terlarang paling meluas digunakan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 9:25 AM