ANGGOTA tentera memeriksa mayat penghantar dadah yang maut dalam pertempuran di daerah Mae Sai, wilayah Chiang Rai di utara Thailand, malam semalam. Foto BERNAMA
ANGGOTA tentera memeriksa mayat penghantar dadah yang maut dalam pertempuran di daerah Mae Sai, wilayah Chiang Rai di utara Thailand, malam semalam. Foto BERNAMA
BERNAMA

LIMA penghantar dadah terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan sepasukan tentera Thailand yang meronda di banjaran gunung Nangnon di daerah Mae Sai, Wilayah Chiang Rai, kira-kira 700 meter dari sempadan Thailand-Myanmar.

Pertempuran selama 15 minit itu berlaku lewat malam semalam apabila pasukan tentera mengesan tujuh lelaki membawa karung berisi dadah di hutan berkenaan, kata Rejimen Kavalri Kedua, Pasukan Phanmuang.

“Anggota tentera pergi semula (pada pagi Ahad) ke tempat berlakunya pertempuran dan menemukan lima mayat pembawa dadah berkenaan bersama-sama kira-kira satu juta tablet “Yaba” (Syabu),” katanya serta menjelaskan setiap lelaki yang terbunuh itu membawa karung berisi 200,000 tablet.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti identiti dan kerakyatan mereka yang terbunuh itu, walaupun terdapat spekulasi lelaki terbabit adalah daripada suku kaum yang tinggal di wilayah pergunungan di sepanjang kawasan sempadan.

Tiada anggota tentera cedera dalam pertempuran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:28 PM