MACRON (tengah) bertemu orang ramai di  Colombey-les-deux-Eglises. FOTO AFP
MACRON (tengah) bertemu orang ramai di Colombey-les-deux-Eglises. FOTO AFP
AFP

PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron hari ini menggesa rakyat negara itu supaya mengurangkan tabiat mengeluh dengan menyatakan bahawa negara akan lebih baik jika mereka mencontohi pemimpin era perang, Charles de Gaulle.

Ketika mengunjungi perkampungan Colombey-les-Deux-Eglises yang juga kampung halaman dan tempat persemadian bekas Presiden itu, Macron memberikan pandangannya selepas berbual dengan seorang pesara yang mengadu bahawa pencennya terlalu kecil.

“Cucu lelaki jeneral (Charles de Gaulle) tidak berapa lama dulu memberitahu bahawa datuknya mempunyai satu peraturan iaitu ‘kamu boleh cakap apa saja tetapi jika boleh jangan mengeluh.

“Saya rasa pandangan jeneral itu adalah tepat. Negara ini akan berbeza jika semua orang bersikap begitu.

“Kita tidak sedar betapa bertuahnya kita. Kita melihat lebih ramai orang lanjut usia di negara ini sihat,” katanya Macron lagi.

Ketika memberi reaksi balas melalui Twitter, pemimpin Perhimpunan Kebangsaan yang sebelum ini dikenali sebagai Barisan Kebangsaan, Marine Le Pen berkata: “Mereka yang hanya mengeluh tidak melakukannya kerana rasa seronok tetapi kerana menjadi mangsa kenaikan cukai setiap tahun hingga tidak pasti sejauh mana keadaan mereka.”

Macron memberi ulasan itu seminggu selepas kerajaan mendedahkan perbelanjaan berbilion ringgit untuk ahli perniagaan dan rakyat Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 7:19 PM