PASUKAN menyelamatkan mangsa di . FOTO Reuters/ ANTARA Foto
PASUKAN menyelamatkan mangsa di . FOTO Reuters/ ANTARA Foto
Reuters

PASUKAN penyelamat di Indonesia berjaya menarik keluar seorang wanita yang masih hidup daripada sisa runtuhan Hotel Roa Roa, Palu, lapor Detik.com hari ini.

Pemilik hotel itu, Ko Jefry, memberitahu Metro TV semalam bahawa 60 orang dipercaya terperangkap di bawah runtuhan susulan tsunami setinggi enam meter yang dicetuskan gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda Sulawesi pagi kelmarin.

Beratus-ratus lagi berkumpul di pusat beli-belah untuk mencari orang tersayang.

“Kami mendapat maklumat daripada orang ramai bahawa anggota keluarga mereka masih terperangkap.

“Kami memberi tumpuan kepada usaha itu, terutama mencari mangsa terselamat,” kata seorang penyelamat, Yusuf, yang berada di lokasi pusat beli-belah berkenaan.

Dengan 420 kematian sudah disahkan di Palu, pihak berkuasa berdepan keadaan lebih buruk ketika laporan diterima dari kawasan rendah, terutamanya Donggala, yang diduduki 300,000 orang di utara Palu dan lebih dekat dengan pusat gegaran.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata angka kematian mungkin mencecah ribuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 2:57 PM