Tachawit menipu kematiannya hingga ibunya memutuskan hubungan. FOTO FB
Tachawit menipu kematiannya hingga ibunya memutuskan hubungan. FOTO FB
Agensi

Bangkok: Suami isteri berdepan tindakan undang-undang apabila si suami menipu kematiannya di Facebook semata-mata mahu mendapatkan wang dengan meminta derma daripada keluarga dan rakan-rakan untuk membayar kos pengebumian.

Rakan-rakan Tachawit di Facebook terkejut apabila isterinya memberitahu suaminya sudah meninggal dunia dan memuat naik beberapa gambar `mayat’ lelaki itu lengkap dengan kapas di dalam hidung pada Ahad lalu.

“Gambar terakhir sebelum menutup akaun Facebook, sayang kamu,” kata keterangan gambar berkenaan.

Keluarga dan rakan-rakan Tachawit yang prihatin bertanya apa yang berlaku dan isterinya memberitahu, suaminya meninggal dunia akibat kanser.

Wanita itu turut memberitahu, suaminya sengaja merahsiakan penyakit itu dan berpura-pura sihat selama ini.

Keluarga dan rakan-rakan yang prihatin segera menawarkan bantuan termasuk mendermakan wang untuk membayar kos pengebumian lelaki itu.

Isteri Tachawit turut memberitahu ibu lelaki itu berita sedih berkenaan sebelum wanita itu mengumpul wang sebanyak 20,000 baht (RM2,428) untuk kos membawa pulang `mayat’ anaknya ke kampung.

Sehari selepas itu, saudara mara Tachawit berkumpul di rumah wanita itu untuk menunggu `mayat’ lelaki itu tetapi selepas beberapa hari ia tidak tiba-tiba di kampung.

Seorang sepupu Tachawit kemudian menghubungi telefon lelaki itu namun terkejut apabila Tachawit sendiri menjawab panggilan berkenaan sebelum segera menamatkan panggilan apabila dia sedar siapa yang menghubunginya.

Kerana sedar ditipu, ibu Tachawit berang segera membatalkan upacara pengebumian berkenaan dan memberitahu dia sudah memutuskan hubungan dengan anak lelakinya itu.

Kisah penipuan pasangan itu turut mendapat liputan media di Thailand pada minggu ini menyebabkan beberapa rakan serta kenalan Tachawit tampil memberitahu mereka juga pernah menjadi mangsa lelaki terbabit.

Walaupun tiada laporan polis dibuat setakat ini, seorang peguam memberitahu, pasangan berkenaan berdepan hukuman denda dan penjara 10 tahun sekiranya didakwa serta didapati bersalah kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 5:05 PM