TRUMP (kanan) berbual mesra dengan Jong-un ketika pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Singapura kelmarin. - KCNA
TRUMP (kanan) berbual mesra dengan Jong-un ketika pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Singapura kelmarin. - KCNA
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mempelawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melawat Pyongyang pada pertemuan bersejarah mereka di Singapura, kelmarin.

Pada masa sama, media tempatan melaporkan Jong-un turut menyatakan kesediaannya untuk melawat AS.

“Jong-un menjemput Trump untuk datang melawat Pyongyang pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai, manakala Trump pula mempelawa Jong-un untuk mengunjungi AS.

“Kedua-dua pemimpin dengan gembiranya menerima jemputan itu, malah yakin ia bakal menjadi satu lagi peristiwa penting bagi memperbaiki lagi hubungan antara Korea Utara dan AS,” kata agensi berita KCNA.

Selain itu, KCNA melaporkan bahawa mesyuarat antara Jong-un dan Trump kelmarin, menandakan wujudnya ‘perubahan radikal’ dalam hubungan antara kedua-dua negara terbabit.

Dalam laporan pertamanya mengenai sidang kemuncak itu, KCNA berkata, hubungan suram berkenaan sudah berlanjutan untuk ‘tempoh yang dianggap paling lama di muka bumi’.

Namun, katanya, mesyuarat pertama antara pemimpin AS dan Korea Utara itu dapat membantu memperbaiki permusuhan antara Pyongyang dan Washington.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 8:58 AM