KERETA yang dipandu wanita mabuk itu masuk ke padang besbol selepas melanggar Parkhurst. - Agensi
KERETA yang dipandu wanita mabuk itu masuk ke padang besbol selepas melanggar Parkhurst. - Agensi
Daily Mail

Augusta, Amerika Syarikat: Seorang pesara tentera yang tidak didakwa selepas melanggar mati kanak-kanak perempuan dalam kes langgar lari kira-kira 50 tahun lalu, akhirnya menerima balasan apabila dia mati dilanggar pemandu mabuk, minggu lalu.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, Douglas Parkhurst, 68, terbunuh ketika cuba menghalang pemandu wanita yang hilang kawalan dan merempuh masuk ke dalam padang besbol di Maine, Amerika Syarikat ketika perlawanan berlangsung.

Tindakannya itu berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang menyertai perlawanan besbol berkenaan.

Bagaimanapun, kakak kepada mangsa langgar lari itu, Darlene Ashby McCann menganggap kematian Parkhurst sebagai pembalasan kerana menyebabkan adiknya yang berusia empat tahun ketika itu, Carolee Ashby, mati dilanggar di Fulton, New York, pada 1968.

Parkhurst membuat pengakuan melakukan jenayah itu pada 2013 dan turut mengaku memandu dalam keadaan mabuk.

“Saya bersyukur kanak-kanak berkenaan terselamat tetapi sukar untuk saya melihatnya sebagai seorang wira,” kata Darlene kepada DailyMail.com, kelmarin.

Parkhurst tidak pernah didakwa di mahkamah atas kematian adiknya disebabkan pengakuan yang dibuat terlalu lewat bagi membolehkan dia didakwa.

“Ia begitu ironi dan keadilan kini ditegakkan. Ia sudah lengkap. Saya kini lega selepas bertahun-tahun kami menanggung derita,” katanya.

Namun, bapanya tidak sempat mengetahui siapa yang bertanggungjawab melanggar adiknya kerana baru meninggal dunia, manakala ibunya meninggal dunia tahun lalu tanpa menerima permohonan maaf secara peribadi daripada Parkhurst.

“Hanya itu yang ibu mahu. Dia mungkin masih muda ketika itu dan membuat kesilapan bodoh tetapi dia menjadi seorang lelaki selepas itu, namun tidak melakukan perkara yang sepatutnya iaitu meminta maaf.

“Anda tidak mungkin boleh melupakannya,” kata wanita itu lagi.

Sementara itu, polis menahan pemandu wanita yang melanggar Parkhurst, Carol Sharrow, 51, dan didakwa dengan tuduhan membunuh.

Saksi yang melihat kejadian berkenaan memberitahu, mangsa cuba menutup pintu pagar untuk menghalang kenderaan itu sebelum dia dirempuh dan disahkan mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 4:24 AM