Agensi

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata, negara itu tidak berdaya menyekat penguasaan China di Laut China Selatan dan memilih mencari penyelesaian damai daripada berperang.

South China Morning Post melaporkan Duterte berkata, dia tidak akan memprovokasi Beijing hingga mencetuskan perang susulan laporan pesawat pengebom jarak jauh China mendarat di sebuah pulau yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.

Beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia berdepan tuntutan bertindih di Laut China Selatan yang kaya dengan hasil laut dan minyak.

“Kamu tahu mereka (China) mempunyai pesawat yang tidak ditempatkan di pulau Spratly tetapi di wilayah China yang berdepan dengan Spratly dan Laut China Selatan.

“Dengan pesawat hipersonik ini mereka boleh tiba di Manila dalam tempoh tujuh hingga 10 minit,” kata Duterte dalam satu ucapan di Cebu kelmarin.

China sebelum ini mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat (AS) apabila pesawatnya termasuk pesawat pengebom H-6K mendarat di sebuah pulau di Laut China Selatan.

Duterte yang dikritik kerana tidak bertindak balas atas peningkatan aktiviti tentera China di wilayah berkenaan membangkitkan persoalan mengenai nasib negara itu sekiranya perang tercetus.

“Apa senjata yang boleh kita gunakan sekiranya perang tercetus? Kita juga tidak mampu membeli raifal, ia diberi kepada kita. Jadi, bagaimana kita mahu berperang dengan China?” soalnya.

Tambahnya, tiada jaminan bahawa AS akan menyebelahi Filipina sekiranya perang tercetus.

Menurutnya, satu-satu penyelesaian yang munasabah adalah membuat perjanjian penerokaan bersama dengan China untuk memanfaatkan potensi di wilayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:49 AM