Kabul. FOTO Hedayatullah Amid
Kabul. FOTO Hedayatullah Amid
Reuters

PERGERAKAN Taliban, semalam mengumumkan permulaan serangan musim bunga, menolak tawaran rundingan damai dikemukakan Presiden Ashraf Ghani dan berkata ia mensasarkan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

Pengumuman kempen Al Khandaq, dinamakan sempena Perang Khandak, menandakan simbolik permulaan musim peperangan, bagaimanapun, pertempuran sengit sudah berterusan di beberapa bahagian berbeza di negara itu.

Ratusan rakyat maut dan cedera dalam siri serangan berprofil tinggi di Kabul sejak awal tahun ini, di sebalik tawaran Ghani Februari lalu untuk mengadakan rundingan damai tanpa syarat awal.

Kenyataan Taliban semalam menolak tawaran itu, menganggap ia satu konspirasi.

“Usaha utama mereka adalah memesongkan pandangan awam daripada penjajahan asing ke atas negara ini, kerana AS tidak serius atau ikhlas menamatkan perang,” kata kenyataan Taliban.

Pemangku Setiausaha Negara AS, John Sullivan berkata, pengumuman Taliban itu menggariskan tanggungjawab pergerakan itu di atas masalah keselamatan yang memusnahkan kehidupan ribuan rakyat setiap tahun.

“Tidak melancarkan musim peperangan baru, namun Taliban mengumumkan satu lagi kempen keganasan mensasarkan kerajaan Afghanistan yang dipilih secara demokrasi dan diiktiraf antarabangsa dan rakyat Afghanistan,” katanya.

Militan berkata, kempen itu sebagai tindakan kepada strategi agresif AS tahun lalu, bertujuan memaksa pergerakan itu ke meja rundingan damai. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 8:35 AM