PETIKAN rakaman video menunjukkan Zhang menangis ketika polis membawanya ke lokasi dia melanggar anak dan isterinya. FOTO Daily Mail
PETIKAN rakaman video menunjukkan Zhang menangis ketika polis membawanya ke lokasi dia melanggar anak dan isterinya. FOTO Daily Mail
Agensi

PEMANDU yang melarikan diri selepas terbabit dalam satu kejadian langgar lari dengan menyebabkan seorang budak lelaki maut dan seorang wanita parah, terkejut selepas mendapati mangsa sebenarnya adalah anak dan isterinya sendiri.

Lelaki yang dikenali sebagai Zhang itu dipercayai mabuk dan terus memecut kenderaannya tanpa berhenti selepas melanggar skuter elektrik yang dinaiki dua beranak berkenaan pada malam kelmarin di Zibo, wilayah Shandong.

Orang ramai yang melihat kejadian itu cuba membantu dua beranak berkenaan yang terbaring di jalan raya sebelum menghubungi ambulans.

Dua beranak itu segera dibawa ke hospital berhampiran tetapi kanak-kanak berkenaan gagal diselamatkan manakala ibunya berada dalam keadaan kritikal.

Zhang yang ditangkap beberapa jam selepas kejadian dibawa ke hospital oleh polis sebelum dia terkejut apabila mendapati mangsa yang dilanggarnya itu adalah anak dan isterinya sendiri.

Satu rakaman video menunjukkan Zhang menangis ketika polis membawanya ke lokasi dia melanggar anak dan isterinya itu.

Zhang memberitahu polis, pada malam kejadian isteri dan anaknya pergi ke rumah saudara mereka untuk makan malam.

Katanya, ketika kejadian dia pulang ke rumah dengan memandu sebuah van dan melanggar anak dan isterinya yang menaiki skuter elektrik.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kerana dia memandu dalam keadaan mabuk kerana terlalu banyak minum arak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 9:32 PM