ORANG ramai membantu seorang mangsa yang cedera dalam serangan berkenaan. - Reuters
ORANG ramai membantu seorang mangsa yang cedera dalam serangan berkenaan. - Reuters
Agensi

Kabul: Sebuah ambulans yang penuh dengan bahan letupan meletup di satu kawasan sibuk di Kabul semalam, membunuh sekurangnya 95 orang dengan 158 lagi cedera, kata pegawai.

“Angka kematian kini mencecah 95 orang dengan 158 lagi cedera,” kata pengarah pusat media kerajaan, Baryalai Hilali.

Dia memberi amaran, jumlah kematian mungkin meningkat kerana ramai mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Serangan berlaku di kawasan menempatkan beberapa organisasi antarabangsa termasuk pejabat Kesatuan Eropah tetapi tiada delegasi asing dilaporkan cedera.

Letupan kuat menggegarkan cermin bangunan yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi serangan dan menyebabkan beberapa bangunan kecil berhampiran runtuh.

Jurucakap kementerian dalam negeri memberitahu, penyerang berani mati memandu ambulans itu melepasi sekurangnya satu pusat pemeriksaan dengan alasan membawa pesakit ke hospital.

“Di pusat pemeriksaan kedua, dia berjaya dikenal pasti dan terus meletupkan kenderaan itu,” katanya.

Beberapa saksi memberitahu, keadaan di lokasi serangan seperti dilanda bencana dengan berpuluh-puluh mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak terbaring berlumuran darah.

Seorang wartawan AFP berkata, dia melihat ramai orang awam yang cedera dan mati di Hospital Jamuriate terletak berhampiran lokasi serangan.

“Petugas hospital bertungkus lumus merawat lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terbaring berlumuran darah di lantai hospital,” katanya.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbaru itu yang dianggap antara terburuk di Kabul dalam tempoh beberapa tahun.

Kira-kira seminggu lalu, kumpulan Taliban juga mengaku melancarkan serangan terhadap sebuah hotel di Kabul yang menyebabkan lebih 20 orang maut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 5:56 AM