ORANG ramai berkumpul melihat kedai yang terbakar dan mengorbankan 12 orang di Mumbai, India semalam. - AFP
ORANG ramai berkumpul melihat kedai yang terbakar dan mengorbankan 12 orang di Mumbai, India semalam. - AFP
AFP

Mumbai: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila sebuah kedai menjual manisan di bandar ini terbakar dan runtuh semalam.

Dalam kejadian sebelum Subuh itu, empat orang turut cedera sementara yang lain sempat berlari keluar beberapa saat sebelum bangunan itu runtuh.

Difahamkan, kedai dua tingkat berkenaan turut dijadikan asrama kepada sekumpulan pekerja.

Jurucakap jabatan bencana Mumbai, Tanaji Kamble berkata, pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan pekerja yang terperangkap tetapi 12 daripadanya terbunuh akibat kecederaan dialami.

“Angka kematian mungkin lebih tinggi, mujur beberapa pekerja berjaya melarikan diri sebelum bangunan itu runtuh,” katanya.

Pihak berkuasa kini menyiasat punca kebakaran di kedai yang terletak di pinggir bandar Mumbai itu.

Kemusnahan bangunan sering berlaku di Mumbai, terutamanya ketika musim monsun dari akhir Jun hingga September.

Berjuta penduduk negara itu terpaksa tinggal bersesak-sesak di bangunan usang akibat sewa yang tinggi, selain pemilik rumah dan bangunan sering mengambil jalan pintas untuk menjimatkan kos.

Pada Ogos lalu, tujuh orang terbunuh selepas sebuah bangunan runtuh di Mumbai akibat hujan lebat selama beberapa hari.

Empat orang pula terbunuh apabila sebuah bangunan empat tingkat runtuh di pinggir Ghatkopar pada 17 Julai lalu.

Pada 2013, 60 orang terbunuh selepas satu blok kediaman runtuh, sekali gus menjadi bencana perumahan terburuk di Mumbai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 8:55 AM