ANGGOTA keselamatan mencari mangsa yang terselamat dalam nahas bas akibat tanah runtuh di Himachal Pradesh. - AFP
ANGGOTA keselamatan mencari mangsa yang terselamat dalam nahas bas akibat tanah runtuh di Himachal Pradesh. - AFP
AFP

New Delhi: Sekurang-kurangnya 175 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi penduduk terpaksa dipindahkan akibat banjir monsun di Nepal, India dan Bangladesh semalam.

Hujan berterusan selama tiga hari yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh itu menyebabkan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh di Nepal, 73 di seluruh utara dan timur India serta 22 lagi di Bangladesh.

Kira-kira 200,000 orang tinggal di kem sementara di Assam, India, kawasan yang kerap dilanda banjir ketika musim hujan tahunan.

Lebih 15,000 terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di Bihar, yang bersempadan dengan Nepal.

Menurut seorang pegawai, tujuh sungai berada ditahap bahaya.

Sebahagian besar kawasan di negeri itu tenggelam pada 2008 apabila air sungai melimpah ke seluruh sempadan di Nepal, dengan kedua-dua negara saling menyalahkan satu sama lain berhubung bencana itu.

Di Nepal, polis berkata, lebih 48,000 kediaman tenggelam sepenuhnya oleh banjir.

Dalam pada pekerja kecemasan berusaha sampai ke kawasan pedalaman, kementerian dalam negeri berkata, lagi 47 orang dikhuatiri hilang atau mati.

Palang Merah Nepal memberi amaran kekurangan air minuman dan makanan juga bakal mencetuskan krisis kemanusiaan di negara itu.

“Sebahagian besar kawasan di negara itu berdepan kekurangan air minuman yang selamat sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan yang tinggi.

“Beberapa buah kampung dan penempatan tidak dapat dicapai. Telekomunikasi, telefon bimbit masih tidak berfungsi jadi susah untuk membuat penilaian penuh,” kata seroang jurucakap, Dibya Raj Poudel.

Sementara itu, di India, pekerja kecemasan menjejaki kawasan yang dilanda tanah runtuh yang menyebabkan dua bas membawa penumpang terjunam ke dalam jurang Ahad lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh.

Di Uttarakhand yang bersempadan dengan Nepal pula, tiga orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh pada Ahad lalu yang dicetuskan oleh hujan lebat, kata polis tempatan, Ajay Joshi.

Bangladesh mengerahkan tentera untuk menampung benteng di utara negara itu, selepas banjir mengakibatkan 22 orang terbunuh.

Pentadbir kerajaan tempatan Kazi Hasan Ahmed berkata, lebih 700,000 orang terperangkap dalam banjir selepas air sungai melimpah susulan hujan lebat.

“Kami belum pernah melihat banjir seteruk ini di Dinajpur sejak 1988,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 9:10 AM