TANDA tempat berlindung dari serangan di lihat di pintu masuk sebuah stesen kereta api bawah tanah di Seoul, semalam.  -  Agensi
TANDA tempat berlindung dari serangan di lihat di pintu masuk sebuah stesen kereta api bawah tanah di Seoul, semalam. - Agensi
Reuters

Seoul: Rakyat Korea Selatan membeli lebih banyak hidangan sedia dimakan dan kerajaan merancang meluaskan latihan pertahanan awam di seluruh negara yang dirancang pada bulan ini.

Suasana cemas mula menyelubungi rakyat negara itu ketika retorik antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan lagi ketegangan di rantau berkenaan.

Rakyat Korea Selatan sudah biasa berada dalam jarak serangan artileri Korea Utara dan tidak menghiraukan sikap agresif serta siri ujian nuklear dan peluru berpandu negara itu.

Bagaimanapun, pada minggu ini, Pyongyang dengan berang berbalas kenyataan dengan AS sekali gus meningkatkan kebimbangan pertempuran mungkin tercetus di kawasan sempadan yang penuh dengan aktiviti ketenteraan.

Combat Ration Inc, antara pengeluar makanan utama sedia dimakan di Korea Selatan berkata, jualan meningkat sebanyak 50 peratus minggu ini.

“Sejak 2006 apabila Korea Utara menjalankan ujian nuklear pertamanya, tidak banyak reaksi penduduk kerana mereka sudah biasa dengan ujian peluru berpandu dan nuklear.

“Tetapi kali ini keadaan sangat berbeza,” kata ketua eksekutif Combat Ration, Yoon Hee-yeul yang menjalankan perniagaan itu sejak 2004.

Dua lagi pengeluar makanan sedia dimakan, Babmart dan jun2food.com juga melaporkan peningkatan jualan.

Peningkatan jualan itu dipercayai akibat tindakan penduduk menyimpan bekalan makanan tambahan susulan ketegangan yang semakin meningkat.

Korea Utara kelmarin berkata, tenteranya akan mengadakan ujian pada pertengahan Ogos ini dengan melancarkan empat peluru berpandu jarak sederhana melintasi Jepun dan mendarat berhampiran Guam, wilayah milik AS.

Presiden AS, Donald Trump memberi amaran, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tidak akan terlepas kerana kecaman dan tindakannya yang tidak menghormati AS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:03 AM