GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan perhimpunan ribuan rakyat Korea Utara di Dataran Kim Il Sung, Pyongyang,  untuk menunjukkan sokongan terhadap pendirian negara itu dalam menghadapi krisis dengan Amerika Syarikat. - AFP
GAMBAR dirakam kelmarin menunjukkan perhimpunan ribuan rakyat Korea Utara di Dataran Kim Il Sung, Pyongyang, untuk menunjukkan sokongan terhadap pendirian negara itu dalam menghadapi krisis dengan Amerika Syarikat. - AFP
Reuters

Seoul: Korea Utara kelmarin tidak mengendahkan amaran Amerika Syarikat (AS) apabila mendedahkan rancangan terperinci untuk satu serangan peluru berpandu berhampiran Guam, wilayah milik AS di Lautan Pasifik.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran, Korea Utara bakal berdepan “api dan kemarahan” sekiranya mengancam negara itu.

Pakar di Korea Selatan memberitahu, rancangan yang didedahkan Pyongyang itu meningkatkan lagi risiko sejak Washington menganggap sebarang peluru berpandu yang diarahkan ke wilayahnya sebagai satu bentuk provokasi walaupun ia sekadar ujian.

Pasaran saham dunia jatuh untuk hari ketiga, dengan saham di Seoul menjunam ke paras paling rendah dalam tempoh tujuh minggu selepas Pyongyang mendedahkan rancangan ujian peluru berpandu yang baru.

Pyongyang berkata, ia membuat persediaan terakhir bagi melancarkan empat peluru berpandu jarak sederhana melepasi Jepun dan mendarat 30 hingga 40 kilometer dari Guam.

Guam, pulau tropika yang terletak lebih 3,000 kilometer dari tenggara Korea Utara mempunyai 163,000 penduduk dan menempatkan kemudahan AS termasuk skuadron kapal selam, pasukan pengawal pantai dan pangkalan udara.

Seperti yang diumumkan Korea Utara, pelan laluan peluru berpandu itu mungkin melintasi laluan udara dan laut paling sibuk dunia.

Agensi berita KCNA yang memetik Komander Angkatan Strategik Tentera Rakyat Korea (KPA), Jeneral Kim Rak Gyom sebagai berkata, tentera melengkapkan pelan pada pertengahan Ogos dan bersedia menerima arahan pemimpin negara itu, Kim Jong Un.

“Roket Hwasong-12 yang bakal dilancarkan KPA akan melintasi ruang udara Shimane, Hiroshima dan Koichi di Jepun.

“Roket ini akan terbang sejauh 3,356.7 kilometer dan selama 1,065 saat dan jatuh ke laut kira-kira 30 hingga 40 kilometer dari Guam,” kata laporan itu.

Walaupun Korea Utara sering mengancam untuk memusnahkan AS, ini kali pertama Pyongyang mendedahkan pelancaran peluru berpandu secara terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 9:55 AM