SEORANG askar Korea Selatan berjalan melintasi skrin televisyen yang menunjukkan grafik jarak antara Korea Utara dan Guam di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam.  - AFP
SEORANG askar Korea Selatan berjalan melintasi skrin televisyen yang menunjukkan grafik jarak antara Korea Utara dan Guam di sebuah stesen kereta api di Seoul, semalam. - AFP
AFP

Guam/Seoul: Korea Utara semalam berkata, ia menimbang rancangan untuk melancarkan serangan misil terhadap Guam, wilayah Amerika Syarikat di Pasifik.

Pyongyang berkata demikian beberapa jam selepas Presiden Donald Trump memberi amaran kepada negara itu bahawa sebarang ancaman terhadap Amerika Syarikat akan dibalas dengan serangan habis-habisan.

Peningkatan ketegangan itu menjejaskan pasaran kewangan antarabangsa.

Korea Utara berkata, ia sedang mengkaji dengan teliti rancangan untuk menyerang Guam yang didiami kira-kira 163,000 orang dan mempunyai pangkalan tentera Amerika, termasuk sebuah skuadron kapal selam, pangkalan udara dan pasukan Pengawal Pantai.

Jurucakap Tentera Rakyat Korea berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita KCNA, rancangan itu akan disiapkan pada bila-bila masa sebaik pemimpin negara itu Kim Jung Un membuat keputusan.

Gabenor Guam, Eddie Calvo, menolak ancaman itu dan berkata, pulau berkenaan bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Menurutnya, dia sudah berbincang dengan Rumah Putih dan tidak ada perubahan mengenai tahap ancaman.

Dalam satu kenyataan lain, Korea Utara yang cuba memajukan program peluru berpandu dan senjata nuklear tanpa mempedulikan sekatan yang diluluskan menerusi ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menuduh Amerika Syarikat merancang peperangan yang sepatutnya boleh dielakkan dan berkata, sebarang rancangan untuk melancarkan peperangan itu akan dibalas dengan perang habis-habisan ‘sehingga semua kubu kuat musuh, termasuk tanah besar Amerika Syarikat’ dimusnahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 8:41 AM