GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Singapura: Perkahwinan campur antara kaum terus meningkat di Singapura dengan kenaikan hampir tiga kali ganda pada 2016 berbanding 7.6 peratus pada 1990.

Laporan 2016 Statistik Perkahwinan dan Perceraian yang disiarkan kelmarin menunjukkan kira-kira 21.5 peratus daripada 27,971 perkahwinan pada 2016 adalah perkahwinan antara etnik.

Statistik perkahwinan antara etnik ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan orang Islam.

Daripada 2,017 perkahwinan antara etnik orang Islam, pasangan datang dari kategori ‘Lain-lain’ untuk 29.4 peratus pengantin lelaki Melayu dan 22.5 peratus untuk pengantin perempuan Melayu.

Laporan yang disiarkan Jabatan Statistik Singapura itu mendapati sebanyak 27,971 perkahwinan sivil dan Islam didaftarkan pada 2016.

Perangkaan ini adalah 1.2 peratus lebih rendah daripada 28,322 perkahwinan yang didaftar pada tahun sebelumnya.

Perkahwinan sivil merujuk kepada perkahwinan yang didaftar di bawah Piagam Wanita sementara perkahwinan Islam adalah perkahwinan yang didaftar di bawah Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam.

Laporan itu juga mendapati kes perceraian pasangan beragama Islam meningkat kepada 1,702 pada 2016 berbanding 1,667 pada 2015. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 11:36 AM