Pelancong yang bersantai di satu pantai di Pulau Tao, Surat Thani, Thailand. - Foto Fail/ REUTERS
Pelancong yang bersantai di satu pantai di Pulau Tao, Surat Thani, Thailand. - Foto Fail/ REUTERS
AFP

PIHAK Berkuasa Tempatan Pulau Koh Tao yang mentadbir pulau pelancongan popular Koh Tao di wilayah Surat Thani, Thailand, meyaman satu portal berita negara itu kerana melabelkan pantai berkenaan sebagai ‘Pulau Maut’ berikutan kematian beberapa pelancong,

Datuk Bandar Koh Tao, Chaiyan Thurasakul, berkata laporan portal berita Samui Times itu menjejaskan reputasi Koh Tao dengan menggelarnya Pulau Maut.

Saman yang difailkan semalam, mendakwa laporan itu mencetuskan panik dalam kalangan pelancong hingga ada yang membatalkan tempahan.

Imej Koh Tao sebagai ‘syurga tropika’, antaranya Ko Samui, mula tercemar pada 2014 selepas dua pengembara Britain dibunuh kejam di salah satu pantai pulau berkenaan.

Beberapa lagi kematian pelancong selepas itu mendapat liputan meluas media yang turut mendakwa kumpulan samseng tempatan dan polis berusaha menutup pembunuhan itu.

Kes terbaru ialah kematian wanita Belgium, April lalu, yang polis memutuskan ia adalah bunuh diri namun dipertikaikan keluarga mangsa.

Bulan lalu, Samui Times menyiarkan artikel mempersoalkan siasatan polis serta menggelar Koh Tao sebagai Pulau Maut dan laporan itu kemudian menjadi viral.

Berikutan itu, pihak berkuasa pulau berkenaan menyaman Samui Times mengikut Akta Jenayah Komputer dengan menyiarkan berita palsu yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.

Dalam kenyataan kepada AFP, Samui Times, berkata ia belum menerima notis saman bereknaan dan mempertahan artikel disiarkannya.

“Samui Times percaya ia untuk kepentingan semua pengunjung tahu mengenai banyak kematian pelancong dan keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan siasatan polis,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 5:33 PM