Redzuan Muharam

Air batu campur (ABC) atau ais kacang sinonim sebagai hidangan pencuci mulut ketika petang yang menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia.

Selain keenakan rasa, warnanya juga sudah cukup untuk menambat selera selain memberi inspirasi kepada pereka muda, Mohd Idham Ismail, 27, menghasilkan rekaan pakaian sempena Universiti Teknologi MARAa (UiTM) Degree Show 2018 di Panggung Seni Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Menyasarkan penggemar pakaian kasual, Mohd Idham memilih fabrik satin sebagai asas rekaan untuk menyerlahkan ciri ‘sporty’ tapi kelihatan mewah (sport luxe).

MOHD Idham mengetengahkan konsep ABC.
MOHD Idham mengetengahkan konsep ABC.

“Saya jadikan ABC sebagai subjek utama bagi menyesuaikannya dengan tema pertunjukan fesyen iaitu makanan tradisional Malaysia.

“Bagi menyempurnakan rekaan itu, saya beri perhatian kepada aspek warna dan jenis fabrik yang digunakan.

“Memandangkan kain satin mempunyai tekstur licin dan berkilau, saya jadikannya sebagai material asas dalam menghasilkan rekaan ini bersesuaian konsepnya yang kasual tetapi nampak mewah,” katanya.

Menyentuh potensi rekaan berkenaan, Mohd Idham yakin pakaian dihasilkannya itu praktikal dan boleh dikomersialkan sekiranya mendapat permintaan.

Namun, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi menyesuaikannya dengan pemakaian harian memandangkan apa yang dipersembahkan pada pertunjukan berkenaan adalah lebih kepada untuk menonjolkan perincian rekaan secara menyeluruh.

MODEL memperagakan rekaan Mohd Idham.
MODEL memperagakan rekaan Mohd Idham.

“Tak dinafikan, pasti ada yang akan mempersoalkan konsep rekaan ini memandangkan ia berkait rapat dengan makanan.

“Bagaimanapun, ABC itu sekadar konsep saja kerana apa yang mahu ditonjolkan adalah bagaimana sesuatu subjek boleh menjadi rujukan dalam menghasilkan sesuatu rekaan.

“Cuma, cita rasa setiap pemakai itu berbeza dan bagi saya, rekaan ini bukan satu masalah untuk mereka gemarkan pakaian rona terang yang kasual dan bercirikan ‘sport luxe’,” katanya.

Mohd Idham berharap, rekaannya itu diterima baik terutama dalam kalangan peminat fesyen khasnya remaja.

Katanya, sokongan berterusan daripada penggiat fesyen sangat penting kerana mampu memberi dorongan kepada pereka baru menghasilkan rekaan lebih berkualiti.

MODEL memperagakan rekaan Mohd Idham.
MODEL memperagakan rekaan Mohd Idham.

“Biarpun proses penghasilan rekaan ini mengambil masa agak lama, saya berpuas hati dengan hasilnya lebih-lebih apabila dapat mempersembahkannya kepada umum.

“Paling menggembirakan saya apabila dapat menonjolkan unsur tempatan dalam rekaan ini sekali gus memainkan peranan dalam mempromosikan keistimewaan makanan tradisional.

“Menerusinya, saya dapat membuka mata masyarakat pereka tempatan juga komited menghasilkan rekaan yang tidak bersifat kebaratan,” katanya.

MOHD Idham bersama model yang memperagakan rekaannya ketika UiTM Degree Show 2018 di Panggung Seni Kraftangan Malaysia.
MOHD Idham bersama model yang memperagakan rekaannya ketika UiTM Degree Show 2018 di Panggung Seni Kraftangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:31 PM