PEKERJA menurunkan helikopter tempur AH-1 Cobra di perairan Aqaba di Laut Merah.
PEKERJA menurunkan helikopter tempur AH-1 Cobra di perairan Aqaba di Laut Merah.
AFP

KERAJAAN Jordan menenggelamkan kereta kebal, kenderaan perisai dan helikopter di Laut Merah sekali gus merasmikan pembukaan Muzium Tentera Dasar Laut pertama negara itu.

Semua 19 aset ketenteraan yang tidak digunakan lagi itu ditenggelamkan di dasar laut sedalam 28 meter di perairan Aqaba yang popular dengan aktiviti menyelam.

Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Khas Aqaba (Aseza) dalam satu kenyataan memberitahu, Muzium Tentera Dasar Laut itu mempamerkan beberapa kereta kebal, sebuah ambulans, kren tentera, kenderaan perisai, meriam antipesawat, meriam dan sebuah helikopter tempur.

“Semua peralatan yang ditenggelamkan berhampiran terumbu karang dan mengikut formasi taktikal.

KERETA perisai antara aset tentera yang dipamerkan di muzium berkenaan.
KERETA perisai antara aset tentera yang dipamerkan di muzium berkenaan.

“Muzium ini bertujuan menawarkan satu pengalaman baharu yang menggabungkan sukan, alam sekitar dan pameran untuk penyelam serta pelawat yang menaiki bot,” katanya.

Perasmian muzium berkenaan dimeriahkan dengan persembahan kumpulan muzik tentera Jordan dan artis tempatan.

Aqaba di utara Laut Merah popular dengan aktiviti menyelam kerana mempunyai terumbu karang yang cantik.

Kawasan terumbu karang di kawasan itu masih berada dalam keadaan yang baik walaupun kebanyakan kawasan terumbu karang di dunia mula terancam akibat pemanasan global.

SEMUA peralatan ketenteraan yang ditenggelamkan disusun mengikut formasi taktikal.
SEMUA peralatan ketenteraan yang ditenggelamkan disusun mengikut formasi taktikal.

Aseza memberitahu, bahan berbahaya daripada aset ketenteraan itu sudah dibuang untuk melindungi ekosistem di perairan berkenaan.

“Muzium ini juga mewujudkan terumbu tiruan dan pemuliharaan di kawasan karang semula jadi dengan menarik penyelam melawat ke muzium itu,” jelasnya.

Sebelum ini, Bahrain melancarkan taman tema dasar laut terbesar dunia dengan menenggelamkan sebuah pesawat penumpang Boeing 747 pada kedalaman 20 meter.

Tarikan terbaru itu dijangka dibuka pada Ogos ini dan ia terletak di pantai utara tanah besar, kira-kira 28 kilometer dari Kepulauan Amwaj.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 9:14 AM